arena

Politano elak Azzurri aib

Oleh Reuters

GENK, Belgium: Pemain gantian Itali, Matteo Politano meledak pada minit terakhir untuk mencipta kemenangan 1-0 mengatasi Amerika Syarikat (AS) dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Roberto Mancini hanya menjaringkan gol tiga kali dalam lima aksi terakhir dan terpaksa menunggu hingga lewat permainan bagi memastikan kemenangan mengatasi AS walaupun mendominasi permainan dan mencipta beberapa peluang sepanjang 90 minit.

Mancini membuat tujuh perubahan terhadap pasukan yang seri 0-0 berdepan Portugal di Milan, Sabtu lalu dan memastikan kedudukan kedua Kumpulan A3 Liga Negara, memberikan penampilan pertama buat pemain tengah Sassuolo, Stefano Sensi.

Bagaimanapun pasukan yang masih segar itu tampak akan sekali lagi kecewa sehingga pemain sayap Inter Milan, Politano meledak bola leret mengatasi penjaga gol, Ethan Horvath pada minit terakhir.

Leonardo Bonucci melepaskan peluang terbaik selepas 18 minit apabila dia mengatasi perangkap offsaid dan menanti hantaran Sensi namun Horvath segera melakukan halangan.

Penjaga gol AS itu sekali lagi beraksi baik lima minit sebelum tamat apabila apabila menyelamatkan hantaran jauh Domenico Berardi dan sepakan percuma berbahaya Marco Verratti ketika Itali semakin memberi tekanan.

Skuad Azzurri terus mendominasi selepas rehat dan satu lagi peluang terbaik gagal disempurnakan apabila cubaan Kevin Lasagna sekali lagi diselamatkan Horvath.

Itali hampir menerima risiko lima minit kemudian ketika AS hampir mendapat gol hasil peluang pertama namun penjaga gol Salvatore Sirigu menyelamatkan Itali dengan aksi terbaik untuk menafikan tandukan Walker Zimmerman.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 12:18pm
d