arena

Tak nak kena lagi...

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans mengharapkan keputusan lebih positif pada aksi persahabatan terakhir bertemu New Zealand di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok sebelum terbang ke Bhubaneswar, India untuk menghadapi saingan Piala Dunia dari 28 November sehingga 16 Disember ini.

Pengendali dari Belanda itu menegaskan beliau akan menyenaraikan barisan terkuat dalam aksi itu dalam usahanya untuk melakukan analisa terakhir terhadap skuad bimbingannya.

Dua perlawanan persahabatan sebelum ini tidak memihak kepada Malaysian Tigers apabila tewas 1-2 serta 3-4 dengan beberapa kelemahan dilihat perlu diperbaiki segera.

"Sudah tentu kami akan turun dengan barisan terbaik tetapi jika ada kecederaan saya perlu memikirkan pilihan lain.

"Kami juga perlu melihat kepada tahap kecederaan yang dihadapi (kapten) Sukri Mutalib.

"Saya mahukan keputusan yang lebih baik berbanding dua perlawanan sebelum ini," katanya.

Sukri dirempuh keras oleh pemain New Zealand pada perlawanan persahabatan kedua sehingga menyaksikannya dikeluarkan seketika sebelum kembali beraksi pada separuh masa kedua.

Oltmans turut berpuas hati dengan prestasi barisan pakar pukulan sudut penalti negara yang berjaya menyempurnakan dua daripada tiga pukulan sudut penalti pada perlawanan persahabatan kedua.

"Saya pasti setiap pemain akan berada pada prestasi terbaik apabila bermulanya saingan Piala Dunia nanti," katanya.

Sementara itu, pengendali New Zealand, Darren Smith turut berharap barisan pemainnya akan mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan itu.

"Minggu lalu (perlawanan pertama) pemain beraksi dengan baik, begitu juga pada perlawanan kedua. Ini adalah perkembangan yang positif menjelang saingan Piala Dunia," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 4:17pm
d