arena

Trio pecut trek sandaran ke Tokyo 2020

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan harapan kepada tiga pelumba pecut negara yang diketuai Azizulhasni Awang untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020.

Selain jaguh keirin kelahiran Terengganu itu, PKBM mengharapkan dua pelumba muda negara, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis akan turut menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

"Ketika ini harapan diletakkan kepada mereka bertiga untuk layak ke Olimpik dengan Azizulhasni diharapkan terus konsisten meraih pingat untuk negara. PKBM akan memberikan sokongan yang padu kepada mereka untuk memastikan impian ini tercapai," jelas Naib Presiden PKBM, Omar Saad ketika menghadiri bengkel penetapan program latihan 2019 bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Pada masa yang sama, beliau tidak menafikan peluang dua pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan namun menegaskan mereka perlu bekerja keras untuk mencapainya.

"Bagi layak ke Olimpik mereka perlu bersaing mengumpul mata, jadi berdasarkan situasi semasa, saya merasakan pelumba wanita negara perlu bekerja lebih keras dalam merebut tiket yang ditawarkan," tambahnya.

Ranking bagi kelayakan ke Olimpik Tokyo sudah bermula sejak siri pertama Piala Dunia 2018/2019 di Perancis pada Oktober lalu namun barisan pelumba negara dilihat tidak berada pada prestasi terbaik susulan jadual padat sejak awal tahun termasuk beraksi di Sukan Komanwel dan Asia.

"Sebenarnya ia terpulang kepada perancangan jurulatih bagi merencanakan tempoh atau kejohanan yang sesuai untuk pelumbanya mencapai kemuncak. Jadi kita tidak boleh mengharapkan mereka berjaya sepanjang kejohanan yang disertai. PKBM sendiri tidak kecewa apabila mereka tidak menyerlah pada dua siri Piala Dunia yang disertai baru-baru ini kerana sedar jurulatih dan atlet pasti mempunyai perancangan tersendiri," tambahnya.

Pada edisi 2016 di Rio hanya Azizulhasni dan Fatehah mara ke Olimpik dengan The Pocketrocketman melakar sejarah apabila menyumbang gangsa dalam acara keirin.

ends.

 

 

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 5:54pm
d