arena

Red Giants pilih Sathia

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mahu bangkit daripada lena selepas berjaya mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman, B Sathianathan untuk mengemudi pasukan itu musim depan.

Meskipun belum ada pengumuman rasmi mengenai perkara itu namun perkembangan itu disahkan sumber rapat persatuan itu kepada Sukan NSTP, hari ini.

Sumber rapat FAS itu berkata, kredibiliti bekas jurulatih FELDA United itu yang memiliki pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan begitu ditagih dalam usaha memastikan Red Giants kembali menjadi pencabar dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Sebelum ini kami menyenarai pendek beberapa jurulatih asing dan seorang jurulatih tempatan namun memandangkan liga akan bermula kurang dua bulan lagi, kami berpendapat jurulatih asing mungkin kurang arif dengan situasi liga di negara ini.

“Mungkin ini akan menyukarkan jurulatih untuk memilih pemain terbaik jadi sebab itulah kami berasakan jurulatih tempatan lebih baik untuk mengendalikan Selangor.

“Dengan pengalaman luasnya, kami berpendapat beliau boleh terus membuat kerja dan tidak perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Kami juga yakin beliau dapat mengembalikan kegemilangan Selangor,” katanya.

Reputasi Sathianathan yang juga bekas jurulatih kebangsaan mungkin tidak boleh dipertikaikan selepas berjaya membantu dua pasukan kembali ‘naik’ ke saingan Liga Super.

Beliau membantu ATM menjuarai Liga Perdana pada 2012 sebelum membawa kembali FELDA United yang disingkirkan ke divisyen dua musim ini kembali ke kancah liga elit itu musim depan.

Bagaimanapun, beliau tidak mencapai persetujuan dengan pemotongan gaji yang disifatkan terlalu besar oleh FELDA United untuk terus mengemudi pasukan itu sekali gus memaksa beliau mengangkat kaki.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 8:25pm
d