arena

Tak nak kalah kali ketiga

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Meskipun tewas dua perlawanan persahabatan dengan New Zealand, penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari tetap optimis Malaysia berada di landasan tepat sebelum turun beraksi di saingan Piala Dunia bermula 28 November sehingga 16 Disember ini.

Jelas Faizal, dia serta rakan sepasukan memperoleh banyak input sepanjang dua perlawanan persahabatan dengan lawan yang menduduki ranking kesembilan dunia itu.

Malaysia tewas 1-2 serta 3-4 dan bakal beraksi pada perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

"Jika kita lihat New Zealand sememangnya pasukan yang bagus. Banyak yang kami semua pelajari daripada dua kekalahan ini.

"Semangat juang rakan sepasukan yang lain juga cukup tinggi dan saya sendiri tak sabar untuk beraksi di Piala Dunia," katanya.

Faizal yang muncul penjaring terbanyak di saingan Trofi Juara-Juara di Muscat, Oman bulan lalu juga berharap dapat memperbaiki lagi sentuhannya pada perlawanan persahabatan terakhir itu.

"Lagi banyak kita memperoleh pukulan sudut penalti, peluang untuk menjaringkan gol lebih cerah.

"Saya harap dapat memperbaiki prestasi dengan cuba menjaringkan gol padang pula pada perlawanan persahabatan ketiga itu," katanya.

Faizal juga tidak gusar dengan prestasi seorang lagi pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim yang baru pulih daripada kecederaan hamstring.

"Semua tahu dia baru pulih. Jadi, Razie masih memerlukan masa untuk mendapatkan sentuhan jaringan semula," katanya.

 

 

 

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 8:59pm
d