arena

Hakim FIFA ditahan kes rasuah

Oleh AFP

KUALA LUMPUR: Seorang hakim Jawatankuasa Etika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ditahan pihak berkuasa tempatan di sini selepas disyaki susulan kesalahan rasuah.

Datuk Sundra Rajoo ditahan lewat semalam oleh penyiasat anti rasuah sejurus tiba dari ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland bagi membantu siasatan kes rasuah.

Susulan penahanan itu, Sundra meletakkan jawatan sebagai pengarah bagi khidmat timbang tara, menurut peguamnya dalam laporan yang diterbitkan, hari ini.

Beliau ditahan semalaman tetapi dilepaskan selepas mahkamah menerima hujah wakilnya bahawa beliau secara efektif mempunyai kekebalan diplomatik kerana peranannya dalam perundangan berprofil tinggi, kata peguam Cheow Wee kepada AFP.

Selain ahli Jawatankuasa Etika FIFA, Sundra adalah Pengarah Pusat Timbang Tara Asia di Malaysia.

Cheow berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memohon untuk menahannya selama tujuh hari kerana “mereka mahu menyoalnya berhubung pertuduhan rasuah.”

Dilaporkan, Sundra dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bantuan kewangan dan media tempatan melaporkan beliau kini sudah melepaskan jawatannya di pusat timbang tara itu.

“Pelanggan saya sudah memberi jaminan beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM berhubung siasatan,” kata peguamnya, tetapi menambah pihak berkuasa tidak menahannya.

Tahun lalu, Sundra dilantik sebagai salah seorang Timbalan Pengerusi Dewan Adjudikasi Jawatankuasa Etika FIFA yang sebelum ini menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup terhadap beberapa eksekutif bola sepak yang terpalit dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam kes rasuah bola sepak.

Dewan Adjudikasi itu bertanggungjawab menggantung bekas presiden badan induk itu, Sepp Blatter dan bos Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Michel Platini.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 11:23pm
d