arena

Cilic tekad tebus duka

Oleh AFP

LILLE: Marin Cilic tekad menghadiahkan kejayaan buat Croatia pada final Piala Davis menentang juara bertahan Perancis di Lille, Ahad ini sekali gus menebus kekecewaan dua tahun lalu selepas tewas kepada Argentina.

Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat itu mendahului Juan Martin del Potro dengan dua set di Zagreb dan tuan rumah hanya memerlukan satu set lagi untuk muncul juara tetapi kesilapan saat akhir membolehkan Argentina menjulang piala berprestij itu.

Tetapi kini dia mempunyai peluang untuk merangkul trofi pertama Piala Davis sebelum kejohanan itu bertukar format baru yang dilaksanakan ITF.

Croatia memiliki sedikit kelebihan menentang Perancis di atas gelanggang tanah liat di Stade Pierre-Mauroy dengan pemain nombor 12 dunia Borna Coric turut beraksi bersama Cilic yang berkedudukan ketujuh dunia.

"Dua tahun lalu kami mendahului pada hari terakhir dan hampir memenanginya. Kami kini mempunyai peluang terbaik. Ia cabaran besar tetapi penuh motivasi.”

Perancis diketuai Lucas Pouille yang tersisih daripada ranking 10 terbaik ke tangga 32 tahun ini manakala Jo-Wilfried Tsonga bergelut dengan masalah kecergasan selepas mengalami beberapa siri kecederaan.

Bagaimanapun, Cilic yang mara ke final Wimbledon 2017 dan Terbuka Australia awal tahun ini tetap waspada ancaman pasukan tuan rumah yang menamatkan kemarau 16 tahun trofi Piala Davis dengan menewaskan Belgium 12 bulan lalu.

"Agak sukar menyatakan Croatia adalah pasukan pilihan,” katanya.

"Perancis beraksi di tempat sendiri, di hadapan ribuan penyokong mereka. Mereka mempunyai kekuatan dalam acara beregu jadi ia lebih terbuka.”

Salah satu penentu kepada perlawanan itu adalah sama ada Cilic dan Coric dapat menyesuaikan diri dengan gelanggang tanah liat selepas musim panjang gelanggang keras.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 12:38pm
d