arena

Mercedes idam hadiah terakhir buat peminat

Oleh AFP 

ABU DHABI: Toto Wolff berharap untuk melihat pasukan juara Mercedes menyajikan satu lagi persembahan terbaik buat peminat pada aksi penutup tirai di Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini.

Ketua pasukan Mercedes itu yang melihat Lewis Hamilton menjulang gelaran dunia kelimanya dan kejayaan kelima pasukan mendominasi kategori pengeluar, berkata dia merasa gembira dengan kecemerlangan minggu lalu, namun bertekad untuk terus memberikan yang terbaik.

“Keraian di Brixworth dan Brackley adalah satu pengalaman luar biasa,” kata Wolff. “Menyambar gelaran berganda kali kelima berturut-turut adalah pengalaman yang hanya dirasai sebilangan kecil orang dalam sukan. Amat menakjubkan.

“Pada masa sama, semua orang berharap untuk terus meningkatkan persembahan bersama dan menjadi lebih kuat untuk musim 2019.

“Sekarang ini, kami masih mempunyai baki satu perlumbaan untuk 2018 dan kami mahu menampilkan aksi terbaik untuk peminat.”

Prospek untuk melihat juara lima kali Hamilton dan rakan sepasukannya Valtteri Bottas bertarung mencari kemenangan ke atas Ferrari dan Red Bull di trek yang menyaksikan Mercedes belum pernah kecundang di era moden turbo-hybrid itu masih menarik.

Walau apapun yang berlaku dalam perlumbaan itu, fokus minggu ini pastinya terarah kepada juara dunia dua kali Fernando Alonso yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada F1 dan Kimi Raikkonen perlumbaan terakhir bersama Ferrari sebelum bertukar ke Sauber.

 

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 1:10pm
d