arena

Tottenham tagih bisa Foyth

Oleh Reuters

LONDON: Ia menjadi bulan luar biasa untuk pertahanan Tottenham Hotspur berusia 20 tahun, Juan Foyth dari Agentina.

Buat julung kalinya dibawa masuk ketika mengatasi West Ham 3-1 dalam aksi Piala Liga, diikuti ganjaran kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) beberapa hari kemudiannya tetapi menghadiahkan lawan dua sepakan penalti ketika menang 3-2 ke atas Wolverhampton Wanderers.

Bagaimanapun, dia kembali penuh bergaya selepas direhatkan ketika Spurs membenam PSV 2-1 dalam pertemuan Liga Juara-Juara dengan menanduk masuk gol kemenangan 1-0 di Crystal Palace pada 11 November lalu.

Foyth kemudiannya terbang untuk membuat kemunculan pertama bersama Argentina bertemu Mexico dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Dengan Jan Vertonghen masih cedera dan terdapat keraguan mengenai kecederaan hamstring Davinson Sanchez menjelang pertembungan dengan Chelsea, Sabtu ini, pastinya bos Spurs, Mauricio Pochettino terus meletakkan kepercayaan kepada pertahanan muda terbabit.

Satu-satunya isu yang mungkin menjadi persoalan adalah ketibaan lewatnya daripada Argentina, di samping rakan sepasukan Erik Lamela dan penjaga gol simpanan, Paulo Gazzaniga.

Namun sama ada dia diturunkan atau tidak, kejayaan Foyth memecah masuk kesebelasan utama membuktikan kejayaan falsafah kelab berpangkalan di London itu.

Walaupun gagal menandatangani sebarang pemain pada musim panas lalu, mereka masih di tangga keempat EPL biarpun beraksi di tempat lawan dalam lapan daripada 12 perlawanan pertama.

Jika berjaya memalitkan kekalahan pertama ke atas Chelsea pada kempen ini, Spurs berupaya memintas skuad kendalian Maurizio Sarri ke kedudukan ketiga.

Sekali lagi, Pochettino membuktikan dengan dana yang kecil beliau masih mampu memastikan kelab itu bersaing di kelompok empat teratas menggunakan bakat muda.

Pertahanan, Kieran Trippier ditandatangani daripada Burnley sebagai pemain sokongan kepada Kyle Walker yang kini sudah ke Manchester City, dan Harry Winks kini sudah menjadi pemain antarabangsa England.

Lamela mula menyinar menjadi pemain sayap yang berbahaya dan Gazzaniga amat cemerlang apabila dibawa masuk sebagai penjaga gol gantian kepada Hugo Lloris.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 1:44pm
d