arena

Lima atlet angkat berat digantung 4 tahun

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Selepas berbulan-bulan 'digantung tak bertali', Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akhirnya mengambil keputusan untuk menggantung empat tahun lima atletnya berikutan disahkan positif doping.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata atlet terbabit adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Hafifi Mansor, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad dan tiga atlet pelapis - Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos.

"Atlet terbabit digantung dan dilarang menyertai mana-mana aktiviti dan kejohanan selama tempoh penggantungan.

"Atlet tersebut juga telah menjalani sesi pendengaran dalaman untuk mempertahan dan membela diri sebelum keputusan ini diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil Disiplin PABM dan dibawa dalam Mesyuarat EXCO PABM," katanya.

Pada Mac tahun lalu, Hafifi disahkan positif menggunakan bahan terlarang, oxymetholone semasa Kejohanan Angkat Berat Terbuka Australia dengan tempoh penggantungan bermula pada 17 Mac 2017 sehinggalah 17 Mac 2021.

Pingat gangsa dalam kategori bawah 85 kilogram yang dimenangi Fazrul pada Sukan Komanwel di Gold Coast pada April lalu pula sudah ditarik balik selepas beliau didapati positif dadah jenis stanozolol dengan penggantungannya selama empat tahun bermula pada 29 Mac tahun ini.

Tiga atlet pelapis - Muhammad Hakimie, Muhammad Zaidi dan Ronny yang menjalani ujian secara rambang oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada 23 Mac lalu disahkan positif dadah jenis stanozolol dan akan menjalani penggantungan bermula 23 Mac tahun ini sehinggalah 22 Mac 2022.

Ayub juga berkata keputusan itu juga sudah dimaklumkan kepada atlet terbabit, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan IWF.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 1:51pm
d