arena

Perkhidmatan LRT dilanjutkan di beberapa laluan

KUALA LUMPUR: Sempena perlawanan hidup mati Malaysia menentang Myanmar dalam saingan Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling akan beroperasi sehingga jam 1 pagi.

Justeru, peminat khususnya penyokong pasukan Harimau Malaya digalakkan menggunakan perkhidmatan tren Rapid KL, yang turut meliputi perkhidmatan LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya dan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.

“Atas permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Rapid KL akan melanjutkan perkhidmatan LRT dan MRT dengan Stesen Bukit Jalil dibuka pada hari Sabtu ini sehingga jam 1 pagi bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam kepada peminat yang bercadang untuk menyaksikan perlawanan Piala AFF antara Malaysia dan Myanmar.

“Stesen lain ditutup seperti biasa tetapi  penumpang boleh keluar daripada stesen berkenaan," kata Rapid KL dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penumpang boleh bertukar laluan di stesen integrasi sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat/Merdeka untuk menggunakan perkhidmatan MRT atau di Masjid Jamek untuk ke Laluan Kelana Jaya.

“Penumpang juga boleh bertukar ke Laluan Kelana Jaya atau MRT di stesen integrasi Pasar Seni,” katanya.

Skuad Harimau Malaya kini berada di tempat ketiga dalam Kumpulan A dengan enam mata dan dalam misi wajib menang ke atas Myanmar yang mendahului kumpulan dengan tujuh mata sekiranya berhajat melangkah ke separuh akhir.

Vietnam pula di kedudukan kedua dengan turut mengumpul tujuh mata tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan.

 

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 3:32pm
d