arena

Gavin, Ben curi tumpuan

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Pemain negara, Gavin Kyle Green dan Ben Leong mencuri tumpuan pada hari pertama Kejohanan Piala Dunia Golf 2018 apabila berkongsi kedudukan keempat bersama tiga lagi pasangan di Kelab Golf Metropolitan, Australia.

Mereka yang membuat penampilan sulung di kejohanan itu tampil konsisten apabila merakam sembilan di bawah par 63 untuk berkongsi kedudukan itu bersama juara bertahan Thobjorn Olesen-Soren Kjeldsen dari Denmark dan Thomas Pieters-Thomas Detry dari Belgium.

Hanya satu pukulan memisahkan ketiga-tiga pasangan itu daripada pendahulu bersama hari pertama Tyrrell Hatton-Ian Poulter (England), An Byeong Hun-Kim Si Woo (Korea) dan Marc Leishman-Cameron Smith (Australia).

Malah, pada satu ketika kedua-dua wakil negara itu hampir melakar kejutan apabila mendahului aksi selepas membenam dua eagle di sembilan lubang pertama sebelum akur dengan kedudukan semasa selepas tamat sembilan lubang kedua.

Ternyata faktor cuaca panas di Kelab Golf Metropolitan banyak menyumbang kepada pukulan konsisten kedua-dua pemain negara itu dalam pertandingan menggunakan format fourballs (best ball).

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan dwitahunan itu adalah pada edisi 1994 apabila M Ramayah dan mendiang P Gunasegaran mendapat tempat kesembilan di Puerto Rico.

Dalam edisi terakhir di Kelab Golf Kingston Health, Melbourne dua tahun lalu, Malaysia sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-24 menerusi Danny Chia dan Nicholas Fung.

Kejohanan membabitkan wakil dari 28 negara itu menggunakan format fourballs pada pusingan pertama dan ketiga, manakala foursomes pada pusingan kedua dan terakhir.

Green dan Ben menyertai kejohanan itu selepas dua pemain terkemuka - CT Pan dari Taiwan dan pemain Chile, Joaquin Niemann menarik diri.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 6:28pm
d