arena

Liverpool ikat Mane lebih lama

Oleh AFP

LONDON: Penyerang Sadio Mane bersetuju melanjutkan kontrak baharu jangka masa panjang bersama Liverpool, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan hari ini.

Pemain antarabangsa Senegal berusia 26 tahun itu menyertai The Reds daripada Southampton pada 2016 dengan nilai $43.8 juta (RM236 juta) dan sepanjang 89 penampilan berjaya menyumbat 40 gol.

“Saya amat gembira dan begitu teruja untuk melanjutkan kontrak di Liverpool,” kata Mane kepada laman web Liverpool.

“Ia adalah hari yang istimewa dan saya sudah tidak sabar untuk membantu pasukan mencapai impian kami, terutamanya dalam memenangi trofi.”

Mane membantu Liverpool mara hingga ke pentas final Liga Juara-Juara musim lalu selain meraih tempat kedua EPL, hanya dua mata dipisahkan kepada Manchester City.

“Saya fikir tiada satu pun kelab di Eropah yang tidak mahu memiliki pemain seperti Mane. Jadi apabila dia mahu kekal bersama kami pastinya satu lonjakan moral kepada pasukan,” kata pengurus Reds, Jurgen Klopp.

"Dia begitu penting kepada kami dan membuktikannya melalui prestasi dan kesan diberikan di atas padang.”

Perjanjian Mane itu hadir ketika komitmen sama ditunjukkan oleh rakan sepasukannya Roberto Firmino yang bersetuju menyambung kontrak baharu pada April dan Mohamed Salah pada Julai lalu.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 8:17am
d