arena

Rodriguez rindu Real

Oleh Agensi 

MUNICH: James Rodriguez dijangka kembali ke Real Madrid pada musim panas akan datang meskipun terdapat perjanjian awal untuk menjadikan tempoh pinjamannya ke Bayern Munich sebagai tetap.

Bintang Colombia itu menyertai Bayern menerusi perjanjian dua tahun pada 2017 selepas gergasi Bundesliga itu membayar wang pendahuluan  £12 juta (RM64.8 juta) dan bersetuju dengan yuran tambahan £37 juta (RM199 juta) untuk menandatanganinya secara penuh sebaik berakhir tempoh terbabit.

Bagaimanapun, Rodiguez tidak berminat untuk kekal di Allianz Arena, menurut akhbar AS, namun kelab Jerman itu masih melihat pilihan untuk memeterainya.

Akhbar AS mendakwa Manchester United, AC Milan, Juventus dan Barcelona semuanya berminat terhadap pemain berusia 27 tahun terbabit tetapi dia sebaliknya lebih berminat kembali ke Bernabeu.

Kepulangannya ke Los Blancos bukanlah mudah untuk menjadi kenyataan ketika situasi itu hanya akan berlaku menerusi dua senario.

Cara paling mudah adalah sekiranya Bayern memilih menarik semula klausa pembelian £37 juta (RM199 juta).

Cara lain adalah untuk Real membelinya semula dengan nilai semasa pasaran selepas dipaksa menjualnya menerusi perjanjian pra-ikatan awal.

Rodriguez dikatakan amat kecewa di Bayern susulan tidak berpuas hati dengan gaya permainan pengendali baharu Niko Kovac.

 

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 9:12am
d