arena

Proses jualan tiket lancar [METROTV]

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

BUKIT JALIL: Pecahan penjualan tiket ke beberapa lokasi, tempoh jualan yang panjang dan penggunaan dalam talian membabitkan aksi terakhir Kumpulan A Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok, nyata dapat sambutan baik penyokong tempatan.

Kebanyakan daripada penyokong gembira dengan usaha itu yang disifatkan mampu mengelak berlaku kekalutan di kaunter jualan.

Tinjauan yang dilakukan pada sesi jualan di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini mendapati proses penjualan tiket berlangsung dengan tenang tanpa tercetus asakan.

“Saya tidak akan lepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan penting ini. Apapun, tempoh yang panjang sebelum perlawanan dan jualan dipecahkan banyak tempat sedikit sebanyak membantu kelancaran jualan tiket.

“Saya jangkakan esok mungkin lebih ramai penyokong datang ke stadium bagi mendapatkan tiket masing-masing,” kata Muhd Helme Zulkifle, 26, yang menjangkankan Harimau Malaya menang 2-0.

Sehingga semalam, jumlah tiket yang sudah terjual sudah melebihi 40,000 keping dan angka itu dijangka terus bertambah selepas jualan hari ini dan juga esok.

Walaupun skuad negara memilih jalan sukar untuk ke separuh akhir, sambutan terhadap tiket membuktikan peminat masih memberikan sokongan padu buat Harimau Malaya dan mereka mengharapkan kejayaan mampu jadi milik negara.

“Dari segi jualan tiket, ia agak terkawal dan prosesnya berjalan dengan baik. Yang pasti kami sebagai penyokong akan tetap beri sokongan kepada pasukan,” kata Fazli ibrahim, 45.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 3:58pm
d