arena

Zii Jia buru keputusan terbaik

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu menutup tirai saingan musim ini dengan nada positif apabila turun beraksi di kejohanan badminton Masters Korea yang bermula Selasa ini.

Selepas hampir dua bulan berehat sejak menjuarai Terbuka Taiwan, awal bulan lalu susulan masalah kecederaan belakang, bintang muda negara itu mengakui sudah tidak sabar untuk kembali ke gelanggang.

“Kecederaan saya sudah pulih sepenuhnya dan sudash  bersedia untuk kembali bermain. 

“Ini  kejohanan terakhir saya tahun ini. Sudah pasti saya akan cuba melakukan yang terbaik bagi menghasilkan keputusan yang baik di Korea tapi dalam masa sama sedar ia bukan mudah.

“Saya perlu fokus satu demi satu perlawanan,” kata Zii Jia yang akan berlepas ke Korea, esok bersama ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

Seorang lagi pemain negara, Soong Joo Ven turut akan beraksi di Korea.

Zii Jia akan memulakan kempen menentang pemain Taiwan, Lin Yu Hsien manakala Joo Ven bertemu pilihan keempat Jonatan Christie dari Indonesia.

Mengulas lanjut, Zii Jia berkata keputusan positif di Korea cukup penting buat dirinya bagi dijadikan suntikan semangat sebelum mengharungi musim yang lebih mencabar tahun depan dengan pusingan kelayakan Olimpik Tokyo 2020 bermula pada Mei.

“Selepas Masters Korea, saya ada lebih kurang sebulan untuk buat persiapan sebelum saingan tahun depan bermula pada Januari. Jadi, saya harap saya boleh terus fokus terhadap latihan.

“Jurulatih Misbun banyak membantu saya selama ini. Ada peningkatan dari aspek mental dan fizikal selain beliau sering memberi kata-kata semangat,” katanya yang dianggap bintang dalam pembikinan buat Malaysia bagi mengambil alih tempat Datuk Lee Chong Wei.

 

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 4:36pm
d