arena

Tender LTdL 2019 dibuka minggu depan

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Syarikat yang berminat untuk menganjurkan perlumbaan berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) dialu-alukan untuk mengemukakan tawaran apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka tender, minggu depan.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, berkata ia terbuka kepada semua pihak yang berminat menganjurkan perlumbaan yang bermula sejak 1996 itu.

“Ia adalah tender ‘pembentangan proposal’. Sama ada muka baharu atau lama dalam penganjuran LTdL, kita akan membuat penilaian yang sewajarnya.

“Pihak yang berminat dikehendaki memberikan taklimat kepada satu jawatankuasa dengan beberapa aspek akan dipertimbangkan, seperti cara menarik penajaan luar, logistik, pentadbiran dan susunan peringkat perlumbaan.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada semua pihak yang berkepentingan iaitu KBS, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM),” katanya.

PKBM sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap saingan berstatus 2HC (hors class) itu kerana tempoh dilihat semakin suntuk untuk melaksanakannya kerana perlumbaan perlu didaftarkan pada Mac tahun depan.

“LTdL 2019 tetap dilaksanakan kerana ia bukan saja penting kepada sukan terbabit, namun dalam aspek mempromosikan negara melalui pelancongan sukan.

“Jika sesebuah syarikat itu stabil dan mampu mencari dana, saya fikir tiada masalah walaupun tempoh dilihat sedikit lewat.

“Namun, sebaliknya mungkin berlaku jika syarikat terbabit tidak berpengalaman atau berkemahiran,” tegasnya.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 5:51pm
d