arena

Sathia teruja kendali Selangor

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: “Menang dan dapatkan piala!. Itu kata-kata ringkas tetapi penuh bersemangat B Sathianathan yang dilantik untuk membimbing skuad Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Pengumuman secara rasmi pelantikan pengendali berusia 60 tahun itu menerusi Facebook Live di laman media sosial Facebook FA Selangor hari ini menoktahkan segala spekulasi mengenai pencarian jurulatih baharu skuad Red Giants bagi menggantikan Nazliazmi Nasir.

Sathianathan yang sebelum ini membawa FELDA United menjuarai Liga Perdana mengakui, ia bukan tugas mudah untuk mengembalikan kegemilangan Selangor yang memiliki sejarah cukup besar dalam kancah bola sepak tempatan.

“Saya berbangga dengan pelantikan ini dan saya tidak sabar untuk memulakan tugas bersama Selangor meskipun cabaran cukup besar.

“Saya akan cuba membantu Selangor merangkul antara satu trofi untuk memberi keceriaan kepada penyokong Red Giants.

“Jika semua pegawai, jurulatih dan pemain memberikan komitmen 100 peratus, saya yakin kita boleh mengembalikan kegemilangan Selangor,” katanya yang menandatangani kontrak selama setahun dengan Selangor.

Sathianathan diakui antara jurulatih yang memiliki pengalaman luas memburu trofi dan pernah mengemudi Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010 serta Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012),

Malah, beliau juga pernah membimbing skuad bawah 23 tahun menjuarai Pestabola Merdeka 2007 serta skuad kebangsaan pada 2007-2009.

Beliau berkata, fokusnya kini adalah untuk membentuk pasukan dan berjanji akan membawa masuk lima lagi pemain tempatan berkualiti selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memancing pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon.

“Selangor memiliki pemain muda berbakat seperti A Namathevan, K Kannan, Sean Selvaraj dan Syahmi Safari.

“Kita akan tambah lagi kekuatan dengan pemain berkualiti. Saya harap pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah akan dapat membimbing pemain lain.

“Saya akan cuba membawa masuk empat hingga lima lagi pemain tempatan berkualiti dan berpengalaman untuk memantapkan pasukan,” jelas Sathianathan yang masih merahsiakan identiti pemain berkenaan.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 6:07pm
d