arena

Misi lunas dendam

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Dendam Kejohanan Piala AFF dua tahun lalu harus dilunaskan Harimau Malaya ke atas Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Jika pada edisi 2016 menyaksikan Myanmar menunjukkan Malaysia jalan keluar hasil kemenangan tipis 1-0, kali ini menjadi peluang terbaik buat anak buah Tan Cheng Hoe mengubah sejarah pahit itu.

Situasinya bagaikan sama dengan apa yang terjadi dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia dan Myanmar bakal membuat perhitungan hidup mati pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Cuma apa yang membezakan kali ini adalah Harimau Malaya pula mendapat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan Stadium Nasional bakal menjadi saksi sama ada impian ke separuh akhir sekali lagi akan terkubur di tangan Myanmar atau sebaliknya.

Secara kasarnya tidak banyak perbezaan antara skuad Harimau Malaya dengan The White Angels itu dan kedua-dua pasukan memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Apa yang pasti, anak didik Cheng Hoe tidak boleh terlalu mengharapkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri kerana Myanmar juga dianggap sebagai pencabar utama dalam kancah bola sepak Asia Tenggara ketika ini.

Perancangan terbaik perlu dilakukan Cheng Hoe dalam mengekang Myanmar yang dilihat memiliki corak permainan pantas dengan keseluruhan skuad mereka dibarisi pemain muda yang berusia bawah 30 tahun.

Malah, mereka juga memiliki sekurang-kurangnya tiga pemain yang beraksi di Liga Thailand termasuk dua pemain Chonburi FC, Zaw Min Tun dan Sithu Aung serta Aung Thu yang beraksi bersama Police Tero.

Tiga pemain ini mungkin perlu diberi lebih perhatian oleh Harimau Malaya selain tidak melupakan keupayaan pemain Myanmar yang lain.

Ia kerana, berdasarkan rekod jaringan mereka dalam perlawanan sebelum ini, ia seakan memberi bayangan betapa Myanmar tidak hanya mengharapkan jentera serangan untuk meledak gol.

Lima daripada tujuh gol yang dihasilkan mereka sepanjang Piala AFF kali ini disumbangkan pemain di bahagian tengah dan hanya dua gol diledak oleh penyerang.

Setakat ini, tonggak tengah Hlaing Bo Bo menjadi penjaring terbanyak Myanmar dengan dua gol dan pemain berusia 22 tahun itu semestinya perlu berada dalam ‘senarai sasaran’ Harimau Malaya.

BARISAN KEMUNGKINAN MALAYSIA-MYANMAR

Malaysia

Jurulatih: Tan Chneg Hoe

Kapten: Zaquan Adha Abd Radzak

Formasi: 4-3-3

Barisan kemunginan: Kharul Fahmi Che Mat (PG), Shahrul Saad, Syahmi Safari, Syazwan Andik Ishak, Aidil Zafuan Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Akram Mahinan, Syamer Kutty Abba, Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid, Zaquan Adha Abd Radzak.

Myanmar

Jurulatih: Antoine Hey

Kapten: Kyaw Zin Htet

Formasi: 4-1-4-1

Barisan kemungkinan: Kyaw Zin Htet (PG), Nanda Kyaw, Hlaing Bo Bo, Aung Thu, Mg Mg Lwin, Soe Moe Kyaw, Si Thu Aung, Htet Phyoe Wai, Win Moe Kyaw, Lwin Moe Aung, Zaw Min Tun.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 8:26pm
d