arena

Neymar, Mbappe dijangka sempat pulih

Oleh Reuters

PARIS: Kylian Mbappe dan Neymar akan terlepas aksi Paris St-Germain (PSG) menentang Toulouse di saingan Ligue 1, esok akibat kecederaan, namun mereka akan kembali beraksi menentang Liverpool, minggu depan.

Pengendali PSG, Thomas Tuchel berkata, Neymar mengalami masalah kekejangan kaki ketika Brazil menang 1-0 ke atas Cameroon, manakala Mbappe pula cedera bahu ketika Perancis menang 1-0 ke atas Uruguay, pada Selasa lalu.

Namun, Tuchel menegaskan, pasukan perubatan memantau rapi perkembangan pemain itu dan berharap mereka mampu cergas sepenuhnya menjelang pertemuan penting Liga Juara-Juara berdepan Liverpool.

“Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko ke atas Neymar dan Kylian Mbappe esok (menentang Toulouse), mereka tidak akan disenaraikan,” lapor media Perancis, L’Equipe.

“Kemungkinan besar mereka akan beraksi menentang Liverpool. Hari ini, selepas berbincang dengan doktor, bagi saya Neymar hanya boleh beraksi pada Rabu,”

Aksi menentang Liverpool kini menjadi fokus utama kelab dari Perancis itu. Ketika ini, mereka berada di tangga ketiga Kumpulan C, di belakang Liverpool dan Napoli dengan berbaki dua perlawanan.

Bagi musim ini, kelab berbelanja mewah itu menetapkan sasaran tinggi dalam Liga Juara-Juara dan kini mendahului selesa dalam saingan domestik dengan kelebihan 13 mata, selepas menang semua 13 perlawanan.

Pemain sayap, Julian Draxler, dilaporkan ESPN berkata, kelab itu cukup bersedia menebus kekalahan 2-3 kepada Liverpool pada aksi pertama di Anfield, pada September lalu.

“Kami tidak takutkan Liverpool,” kata Draxler. “Kami tidak gentar dengan isu penyingkiran. Kami tahu, ini adalah seumpama perlawanan ‘mini akhir’ dan kami akan beraksi lebih baik berbanding perlawanan pertama.

“Kami memiliki skuad yang cukup bagus untuk mencapai tujuan itu,”

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 10:47pm
d