arena

Dortmund terus beli Alcacer

Oleh Agensi

DORTMUND: Borussia Dortmund menandatangani penyerang Paco Alcacer dari Barcelona dengan harga £22.7 juta (RM118 juta) selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan bersama kelab pada awal musim ini.

Pendahulu Bundesliga itu mengikat pemain antarabangsa Sepanyol berusia 25 tahun itu secara pinjaman jangka panjang pada Ogos lalu dengan pilihan untuk dibeli.

Bekas pemain Valencia itu menjaringkan sembilan gol dalam lapan perlawanan dengan purata satu gol setiap 44 minit.

Kontrak Alcacer berkuatkuasa sehingga 30 Jun 2023.

Prestasi hebatnya itu membolehkan dia dipanggil menyertai skuad Sepanyol dan menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan, menentang Wales dan England.

"Hari ini kami memberitahu Barcelona yang kami mengaktifkan pilihan untuk membeli,” kata Michael Zorc, Pengarah Sukan Dortmund dalam kenyataan awal pagi tadi. "Paco hadir di Dortmund dengan semangat yang membara. Dia berjaya menyesuaikan diri dalam masa singkat dan mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

“Saya yakin Paco 100 peratus cergas bersama kami.”

Alcacer pula berkata,“Saya sangat gembira di Dortmund, BVB dan bersama kelab yang hebat ini. Saya yakin ini adalah keputusan tepat dan akan membalas kepercayaan dengan prestasi dan jaringan.”

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 8:22am
d