arena

'Schumacher 'musuh' terbaik...'

Oleh Agensi

ABU DHABI: Fernando Alonso berkata, Michael Schumacher adalah pesaingnya paling hebat sepanjang karier tatkala pelumba Sepanyol itu bersedia untuk meninggalkan Formula Satu (F1).

Alonso, 37, akan memulakan perlumbaan kali ke-312 menjelang saingan terakhir Grand Prix (GP) di Abu Dhabi esok.

Legasinya dalam F1 selama 18 tahun termasuk ketika menjadi pelumba ujian Renault pada 2002 terbahagi kepada dua, pertama sebagai salah seorang pelumba hebat memenangi 32 saingan termasuk mengalahkan legenda, Schumacher dan merampas kejuaraan secara berturut-turut.

Satu lagi ialah menyaksikan dia sebagai punca pergaduhan dan tidak mendapat bimbingan yang betul, sehingga membuat keputusan salah.

“Ketika saya menyertai go-kart, Michael menang. Ketika saya menyertai kategori junior, Michael juga yang juara dan apabila saya menyertai F1, Michael menguasainya. Hanya selepas beberapa ketika saya berjaya menyainginya. Pertarungan antara kami sangat istimewa dan sungguh emosi,” kata Alonso.

Alonso juga terpalit dengan detik hitam dalam sukan berkenaan selepas terbabit dengan skandal Spygate 2007, di mana dia dan pasukan McLaren didakwa memiliki maklumat teknikal Ferrari sebanyak 780 muka surat dan diikuti dengan peristiwa Crashgate setahun kemudian.

Renault melakukan perancangan untuk Nelson Piquet terbabit dalam kemalangan di Singapura, membolehkan Alonso muncul juara, namun pelumba Sepanyol itu menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Selepas meraih kejayaan bersama Renault, Alonso sempat bergandingan bersama Lewis Hamilton untuk satu musim di McLaren sebelum kembali ke Renault.

Dia kemudiannya lima musim dengan Ferrari dan kembali semula ke McLaren.

Dia akan bersara tanpa merasai nikmat kejuaraan selama lima tahun , dan tidak pernah menaiki podium lebih dari empat tahun tatkala menjelang perlumbaan esok dia menduduki tangga ke-10 keseluruhan berada di antara Kevin Magnussen dan Esteban Ocon.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 11:52am
d