arena

Steinebrunner pengarah teknikal KAFA

Oleh Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melantik bekas jurulatih kelab Liga Perdana Singapura, Warriors FC, Jorg Steinebrunner sebagai pengarah teknikalnya.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pelantikan Steinebrunner, 47, yang berasal dari Jerman bertujuan memberi tumpuan khusus kepada sistem pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.

“Hasil rundingan dengan KAFA, Steinebrunner yang juga bekas pengarah teknikal Negeri Sembilan bersetuju menandatangani kontrak selama 10 bulan bermula 1 Januari hingga 30 Oktober 2019.

“KAFA juga melantik beliau untuk membantu memilih pemain yang berpotensi untuk diserap ke skuad Piala Belia dan Piala Presiden sebelum dicadangkan mewakili skuad senior.

“Pada masa sama, kami meminta beliau supaya memberikan bantuan kepada ketua jurulatih Yusri Che Lah untuk menilai kelemahan dan kekuatan pemain dalam setiap perlawanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebagai rekod, Steinebrunner pernah membimbing skuad Geylang International FC, PSM Makassar, Sengkang Marine FC dan Woodlands Wellington FC. Beliau mempunyai rekod kemenangan sekitar 43 peratus, seri 20 peratus dan kalah 35 peratus sepanjang bergelar jurulatih.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 4:40pm
d