arena

JDT nafi pikat Akhyar

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards menyangkal tuduhan kononnya kelab itu berminat menandatangani kontrak dengan pemain prolifik Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid tanpa persetujuan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Edwards bagaimanapun mendedahkan juara Liga Super itu tidak menawarkan apa-apa kontrak kepada pemain berbakat berusia 19 tahun itu kerana mereka sedar dia masih dalam kontrak dengan Kedah sehingga akhir tahun depan.

“Kami kesal dengan tuduhan itu hanya kerana seorang pemain mahu menamatkan kontraknya. Sekiranya Akhyar tidak terikat, dia bebas berunding dengan mana-mana kelab yang dia mahu termasuk JDT,” katanya dipetik sebagai berkata dalam catatan terkini menerusi akaun rasmi Facebook JDT iaitu Johor Southern Tigers.

Beliau menjawab beberapa laporan Muhammad Akhyar ingin menamatkan kontrak dengan kelabnya sekarang memandangkan beberapa kelab kini berminat mendapatkan khidmat berikutan prestasi luar biasa dengan skuad senior dan skuad muda kebangsaan termasuk skuad bawah 19 tahun.

Muhammad Akhyar membawa kesnya itu ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beberapa hari lalu selepas dia dan KFA gagal mencapai persetujuan.

FAM dijangka membuat keputusan tidak lama lagi.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 6:16pm
d