arena

Bingitnya Bukit Jalil... [METROTV]

Oleh Aziman Rosdi dan Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Gegak-gempita! Itulah suasana di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF antara Malaysia dan Myanmar, malam ini.

Apa tidaknya, lebih 70,000 penyokong hadir demi memberi sokongan kepada pemain Harimau Malaya yang berdepan tugas penting wajib menewaskan Myanmar untuk mara ke separuh akhir.

Apa yang pasti, suasana itu jelas menunjukkan semangat penyokong Harimau Malaya tidak pernah luntur biarpun prestasi turun naik dipamerkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Hari ini, Bukit Jalil dikuasai ‘Harimau Malaya’ apabila setiap ruang dipenuhi penyokong Malaysia dengan sorakan tidak pernah berhenti sejak sebelum permainan bermula terutama laungan daripada kumpulan Ultras Malaya.

Tidak cukup dengan itu, kain rentang ‘Menang Sampai Juara, Kitalah Raja’ turut kelihatan di kem Ultras Malaya dan ia sudah pasti menjadi salah satu pemangkin semangat buat pemain.

Di sebalik puluhan ribu penyokong Harimau Malaya, terselit juga kumpulan kecil penyokong Myanmar yang berjumlah kira-kira 3,000 orang.

Keadaan itu sekali gus menambahkan lagi kemeriahan perlawanan hidup mati kedua-dua pasukan dengan masing-masing cuba merebut tiket ke separuh akhir.

Malaysia yang ketinggalan satu mata di belakang Myanmar dalam carta kumpulan wajib menang jika mahu mara ke peringkat seterusnya sementara lawan mereka hanya perlukan seri.

Selain misi wajib menang, anak buah Cheng Hoe juga membawa satu lagi misi untuk membalas dendam dua tahun lalu.

Pada Piala AFF 2016, Myanmar menunjukkan Malaysia jalan keluar selepas meraih kemenangan tipis 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Thuwunna, Yangon.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 8:52pm
d