arena

Ramos hilang fokus

Oleh AFP

EIBAR, Sepanyol: Santiago Solari membuktikan dia adalah pemangku yang sempurna, tetapi selaku jurulatih tetap Real Madrid, ia berakhir dengan kekalahan 0-3 di tangan Eibar, malam tadi.

 

Solari meraih empat kemenangan ketika memangku tugas jurulatih sementara dan kejayaan itulah yang membolehkannya ditawarkan kontrak sehingga 2021.

Namun, selepas rehat aksi antarabangsa, situasinya mula berubah apabila Real menampilkan persembahan buruk dan faktor itu juga yang menyebabkan jurulatih sebelumnya, Julen Lopetegui dipecat.

Kekalahan itu juga dikaitkan dengan fokus pemain Madrid yang terganggu selepas kapten, Sergio Ramos berdepan dakwaan penggunaan dadah oleh akhbar Jerman, Der Spiegel, pada Jumaat lalu.

Ramos jelas tidak beraksi di bawah tahap sebenar di Ipurua - mungkin terganggu dengan dakwaan dia gagal menggunakan ubat yang betul selepas final Liga Juara-Juara 2017.

Bagaimanapun kelab gergasi Sepanyol itu menafikan dakwaan berkenaan. Namun, cukup jelas, semua situasi itu mengganggu persembahan keseluruhan Real Madrid.

Dalam pertembungan tadi, Eibar nyata lebih kuat, lebih agresif dan paling membimbangkan buat Solari, ialah percaturan taktikal yang digunakan lawannya itu.

Marc Cucurella bijak di bahagian kiri, membantu untuk semua tiga gol yang dijaringkan Gonzalo Escalante, Sergi Enrich dan Kike Garcia.

Peningkatan yang diharapkan Real di bawah Solari jelas tidak kesampaian, bahkan mereka semakin ketinggalan di belakang Barcelona dan Atletico Madrid. Selepas ini, mereka akan bertembung sesama sendiri di Wanda Metropolitano, Sabtu depan.

Kejayaan meraih tiga mata tadi membolehkan Eibar melonjak ke kedudukan ketujuh liga, hasil kemenangan pertama mereka mengatasi Real Madrid dalam penampilan ke-11.

Solari kini perlu kembali membetulkan pasukannya menjelang pertemuan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini berdepan AS Roma, yang tampak akan menentukan kedudukan juara Kumpulan G.

 

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 12:17am
d