arena

Drop Shot: Jin Wei 'penyelamat' badminton

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

Ketika kita hampir menutup kempen musim ini dengan pencapaian agak suram dalam arena badminton negara, pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei dilihat muncul selaku ‘penyelamat’.

Dua kejayaan membanggakan daripadanya-memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Argentina serta terbaru muncul juara remaja dunia di Kanada untuk kali kedua. Ia pasti menjadi kebanggaan kepada rakyat Malaysia.

Sudah seringkali saya tegaskan, saya tidak pernah menafikan kemampuan pemain berusia 18 tahun ini. Dia merupakan pemain yang tidak pernah menyerah kalah dan mempunyai disiplin tinggi selain tahu apa yang perlu dilakukan untuk berjaya.

Saya tidak terkejut dengan pencapaiannya setakat ini kerana Jin Wei sudah diberi pendedahan berlatih bersama-sama pemain senior pada usia yang cukup muda.

Itulah yang menyebabkan tahap permainannya agak tinggi dan tidak mempunyai masalah untuk memenangi perlawanan dengan lawan yang seusia dengannya.

Saya fikir masa depannya selepas ini cerah dan boleh menjadi antara pemain terbaik dunia dengan syarat dia sanggup bekerja keras terutama dari aspek fizikal dan terus diberi pendedahan pada peringkat senior agar dia cepat menimba pengalaman dalam permainannya.

Meskipun tidak mempunyai kelebihan pada aspek jasmani, ia bukan masalah besar untuknya.

Yang penting Jin Wei perlu ada ketahanan fizikal dan mental yang kuat sepertimana dibuktikan pemain Jepun yang mampu bertahan di atas gelanggang selama dua jam.

Nasihat saya apabila dia mula memberi fokus terhadap aksi pada peringkat senior, jangan mula berasa tertekan dgn kekalahan.

Sebaliknya pastikan timba pengalaman sebanyak mungkin dalam laluannya memburu gelaran juara dunia dan jangan berputus asa.

Selepas sekian lama kita menyaksikan kehebatan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak mustahil kita menyaksikan kejayaan Jin Wei satu hari nanti. Jumpa lagi.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 4:01am
d