arena

Taji Mitrovic buat Soton tersungkur

Oleh Agensi

LONDON: Claudio Ranieri melabelkan Aleksandar Mitrovic salah seorang penjaring terbaik di Eropah selepas dua golnya membantu Fulham mencapai kemenangan pertama di bawah kendalian Ranieri sebagai pengurus.

Fulham memburu kemenangan kedua Liga Perdana musim ini selepas Ranieri menggantikan Slavisa Jokanovic yang dipecat dan kemenangan 3-2 ke atas Southampton itu tepat pada masanya dalam pertarungan membabitkan dua pasukan sedang bergelut ketika ini.

Mitrovic, 24, gagal menjaringkan gol dalam enam aksi Liga Perdana tetapi dua kali menembusi gawang lawan sekali gus jaringan ketujuh bekas penyerang Newcastle musim ini.

Hanya pemain Manchester City, Sergio Aguero menjaringkan lebih daripada itu dan Mitrovic muncul penjaring terbanyak setakat ini dalam Liga Negara Negara dengan enam gol dalam empat perlawanan bersama Serbia.

“Saya mengarahkan pemain menghantar bola kepada Mitrovic kerana dia sangat hebat dalam kotak penalti,” kata Ranieri. "Dia boleh melakukan apa sahaja dalam kariernya.”

Jurulatih dari Itali itu diberikan sambutan meriah menuju ke kawasan teknikal tetapi dikejutkan dengan jaringan pembukaan Southampton oleh Stuart Armstrong pada minit ke-18.

Fulham bergelut mencari gol penyamaan dan tandukan Mitrovic pada minit ke-33 menceriakan penyokong mereka. Andre Schurrle menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-43 selepas mendapat hantaran Ryan Sessegnon.

Southampton menyamakan kedudukan juga melalui Armstrong lapan minit selepas separuh masa kedua bermula tetapi Mitrovic menjadi pemusnah dengan jaringan kemenangan Fulham selepas mendapat hantaran Alex McCarthy.

Spekulasi penyingkiran Mark Hughes sebagai pengurus Saints semakin kencang selepas sembilan perlawanan tanpa kemenangan.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 10:40am
d