arena

'Bukan persembahan terbaik kami'

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Gandingan negara, Gavin Green dan Ben Leong akur ia bukan penamat terbaik mereka pada penampilan sulung di Piala Dunia Golf di Kelab Golf Metropolitan, Melbourne, hari ini.

Selepas mengharungi permulaan baik, dua pemain ranking terbaik negara itu menamatkan saingan di tempat ke-22 selepas melakukan dua atas par 74 pada pusingan terakhir kejohanan empat hari itu bagi keseluruhan enam bawah par 282.

Mereka membawa pulang AS$58,000 (RM243,000) tetapi Gavin dan Ben mengakui perasaan mereka bercampur baur selain memperoleh pengalaman yang cukup berharga.

“Banyak perkara positif boleh diambil minggu ini, terutama bermain buat kali pertama pada Piala Dunia. Kami berharap untuk dapat bermain lebih baik sedikit tapi ada beberapa kesilapan,” kata Gavin.

“Namun secara keseluruhan ia menggembirakan. Gembira untuk berada di sana bersama Ben dan hubungan kami bagus, kami memperoleh tempoh yang hebat,” kata pemain nombor satu Asia 2017 itu yang ketika ini bermain semusim penuh di Jelajah Eropah selepas mengesahkan tiket bagi musim 2019.

Ben turut senada dengan rakan sepasukannya berusia 24 tahun itu dan berkata: “Kami tidak memperoleh hujung minggu yang baik tapi ia tetap minggu yang baik.

“Kami mengharungi permainan yang baik dan buruk tapi inilah golf. Gavin sekali lagi akan bermain di Australia minggu depan jadi saya mengucapkan selamat berjaya buatnya.”

Juara menjadi milik Belgium yang diwakili Thomas Pieters-Thomas Detry selepas mengumpul 265, tiga pukulan di depan pasangan tuan rumah, Mark Leishman-Cameron Smith dan Abraham Ancer-Roberto Diaz dari Mexico.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 5:11pm
d