arena

Kesabaran Foyth buah hasil

Oleh Agensi

LONDON: Pertahanan Tottenham, Juan Foyth berkata, dia sudah merasai 'habuan' selepas mempamerkan aksi cemerlang buat kelab dan pasukan kebangsaan disertainya sejak kebelakangan ini.

Bek tengah berusia 20 tahun itu hanya melakukan lapan penampilan bersama Spurs pada musim pertamanya selepas berpindah dari Estudiantes pada musim panas lalu.

Namun kini dia sudah diturunkan untuk tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris dan dalam tempoh itu, Foyth menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Crystal Palace selain diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan ketika membuat kemunculan pertama bersama pasukan Argentina.

"Saya sangat gembira kerana apa yang diharapkan akhirnya tiba," kata Foyth selepas kelab disertainya mencatat kemenangan 3-1 ke ata Chelsea, Sabtu lalu.

"Tahun lalu, saya bermain dalam saingan piala saja. Saya menyertainya dengan penuh serius kerana ia adalah kejohanan yang bagus dan menentang lawan tidak kurang hebatnya meskipun ada sesetengahnya daripada divisyen yang lebih rendah. Mereka adalah lawan yang bagus dan saingannya juga agak sengit.

"Saya mengambil perlawanan berkenaan sebagai tempat untuk menimba pengalaman dan saya juga menggunakan sesi latihan bersama rakan sepasukan untuk menyesuaikan diri dengan secepat mungkin.

"Tahun pertama agak positif meskipun bermain dengan sedikit saja kerana saya meningkat dalam banyak perkara. Terima kasih kepada tuhan kerana kini saya boleh bermain dengan lebih kerap.

"Saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan secara sedikit demi sedikit. Mungkin saya melakukan beberapa kesilapan yang perlu saya perbetulkan dan ia sesuatu yang akan berlaku nanti.

"Saya berterima kasih kepada pasukan kerana bermain dengan begitu baik (menentang Chelsea). Kami memulakan saingan dengan memberikan tekanan sepenuhnya. Kami sangat gembira kerana kemenangan itu memberikan kami semangat yang lebih hebat."

Kepercayaan dan kemampuan Foyth mula dilihat selepas ketiadaan Jan Vertonghen dan Davinson Sanchez pada bulan lalu. Namun, Vertonghen kini sudah semakin pulih daripada kecederaan hamstring dan ketika Mauricio Pochettino enggan mengambil risiko dengannya untuk menentang Chelsea, pemain Belgium itu mungkin boleh mengenepikan Foyth ke bangku simpanan.

"Saya tidak boleh bermain menentang Inter Milan (Rabu ini) kerana tidak berada dalam senarai Liga Juara-Juara dan kemudian, menentang Arsenal, pengurus akan memutuskan siapa yang akan bermain," kata Foyth. "Apapun (keputusannya) saya akan sentiasa menyokong pasukan dan cuba memberikan yang terbaik sekiranya diberikan kepercayaan untuk bermain.

"Kami adalah rakan sepasukan yang baik (dalam barisan bek tengah). Kami memberikan nasihat antara satu sama lain dan cuba belajar antara kami."

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 8:27am
d