arena

Wolff akui cabaran sengit musim depan

Oleh Daripada Saiful Affendy Sapran

ABU DHABI: Prinsipal pasukan Mercedes AMG PETRONAS, Toto Wolff menjangkakan cabaran lebih sengit musim depan ketika pasukannya bakal hadir dengan status juara dunia berganda selama lima musim berturut-turut.

Jelas Wolff, cabaran itu bukan saja hadir daripada Ferrari serta pemandunya, Sebastian Vettel, malah daripada pasukan lain juga. 

"Saya jangkakan persaingan lebih seimbang. Ferrari seperti biasa akan terus konsisten menjadi pesaing.

"Tetapi kami juga harus melihat kepada perkembangan Red Bull yang bakal beralih kepada enjin Honda musim depan," katanya ketika ditemui di sini. 

Bagaimanapun Wolff yakin dua pemandunya, Lewis Hamilton serta Vallteri Bottas mampu sekali lagi menggalas tugas dengan baik.

"Hamilton seperti biasa begitu cemerlang. Dia kini sebaris pelumba lagenda seperti Juan Manuel Fangio dan Michael Schumacher dan berhak untuk menerima pujian.

"Bottas pula saya harap dapat bangkit musim depan. Dia tidak bernasib baik sepanjang musim ini dan kegagalan itu bukan daripada kesilapannya.

"Sebab itu saya mahu melihatnya mampu memberikan keputusan yang lebih baik musim depan kerana dia juga mempunyai peluang untuk muncul juara dunia," katanya.

Sementara itu mengulas lanjut saingan sepanjang musim ini yang menyaksikan Mercedes memenangi kejuaraan pemandu dan pengeluar untuk kali kelima berturut-turut, Wolff menyifatkannya sebagai penuh tekanan.

"Kami melalui cabaran berbeza. Di awal musim Ferrari dilihat agak kuat tetapi pada pertengahan musim pula giliran Red Bull bangkit.

"Namun kami berjaya untuk mempamer aksi konsisten dan akhirnya sekali lagi meraih kejuaraan berganda ini," katanya.

 

 

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 1:46pm
d