arena

Serasi dengan Syahmi penting - Sumareh

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh menyifatkan gandingannya dengan pertahanan, Syahmi Safari sebagai elemen penting dan persefahaman mereka dalam skuad Harimau Malaya ketika ini cukup mantap.

Kemenangan 3-0 ke atas Myanmar yang mengesahkan tempat buat Malaysia ke separuh akhir Piala AFF, Sabtu lalu menjadi bukti dengan Sumareh tanpa mengenal erti penat mencipta peluang dari sebelah kanan berpunca gerakan Syahmi di bahagian belakang.

Begitupun pemain kelahiran Gambia itu berkata, keserasian itu tidak diperoleh dengan mudah.

“Kami sudah memahami satu sama lain dan semuanya disebabkan oleh latihan. Apabila kami sentiasa berlatih bersama, kami menjadi lebih serasi antara satu sama lain,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

“Lebih kerap kami berlatih bersama, kami lebih mengenali antara satu sama lain.”

Sedar dia masih belum menjaringkan gol dalam kempen Piala AFF sekali gus mengundang kritikan, Sumareh tahu betapa perlawanan menentang Thailand pada separuh akhir menjadi medan buatnya menggegar gawang.

“Saya lebih daripada gembira untuk layak ke separuh akhir dan sama ada saya membantu pasukan menjaringkan gol atau tidak, semuanya adalah mengenai kemenangan dan saya gembira. Mungkin ketika ini saya belum bertuah tapi selepas ini mungkin peluang saya akan tiba.”

Mengulas aksi timbal balik separuh akhir menentang juara Kumpulan B, Thailand, Sumareh yang beraksi bersama Pahang akur ia tugas yang sukar tetapi berasakan Harimau Malaya mampu mengharungi halangan itu jika mereka lebih berdisiplin.

“Bagi separuh akhir, kami perlu lebih berdisiplin dan ia menjadi semakin sukar bermula dari sekarang. Setiap perlawanan yang kami harungi perlu dilayan dengan lebih serius dan kami perlu memberikan 120 peratus bermula sekarang.”

Malaysia akan bertemu Thailand pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 4:30pm
d