arena

Alif, Latif pelayar terbaik

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Dua pelayar muda berusia 18 tahun, Alif Safares Azmi dan Abdul Latif Mansor membuktikan kehandalan mereka dalam sukan air itu apabila dinobat sebagai atlet terbaik pada kejohanan Cabaran Pelayaran Monsun Terengganu-KFC 2018 di Pulau Duyong, di sini semalam.

Gandingan dua pelayar kebangsaan itu menampilkan aksi luar biasa apabila mengungguli tiga acara termasuk International 420 cabaran Pulau Duyong dengan mengetepikan pelayar Sarawak, Davevians Dismas-Syed Mohd Aliff Syed Malik Faizal.

Dalam acara International 420 lelaki, gandingan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu itu juga meraih tempat pertama menewaskan pelayar dari Singapura, M Daniel Kei-M Ryan Sei.

Bagi kategori International 420 terbuka, gandingan itu sekali lagi mengecewakan pelayar dari Singapura itu apabila muncul juara.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT, Profesor Madya Ir Dr Mohammad Fadhli Ahmad. Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ibni Amin Busu.

Pengerusi kejohanan Abdul Rani Idris berkata, lapan pasukan iaitu Singapura, Pahang, Selangor, Sarawak, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin menyertai kejohanan itu.

“Kejohanan selama empat hari ini anjuran Persatuan Pelayaran Terengganu (TESA) dan Persatuan Luncur Layar Terengganu (TWSA) dengan kerjasama UMT berjaya menarik minat 150 pelayar untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Selain peminat dapat saksikan penampilkan terbaik pelayar handalan negara, kejohanan ini juga dapat mengetengahkan atlet muda berbakat sebagai pendedahan kepada mereka beraksi di peringkat lebih tinggi,” kata Rani yang juga ketua jurulatih pelayaran Terengganu.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 4:53pm
d