arena

Bola jaring ke Sukan SEA

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Pasukan bola jaring negara berpeluang untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA selepas sukan itu akhirnya disenaraikan semula bagi temasya akan datang di Manila tahun depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata, mereka memang menjangkakan penyenaraian semula sukan itu selepas rayuan.

“Pada awalnya bola jaring tidak disenaraikan, namun selepas itu selain Malaysia, persatuan bola jaring Filipina, Thailand, Brunei dan Singapura menyatakan sokongan supaya bola jaring disenaraikan.

“Kami sudah membuat perancangan untuk mengadakan latihan pusat bermula Januari depan bagi misi mempertahankan pingat emas di Filipina nanti,” katanya.

Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Manila kelmarin mengesahkan bola jaring turut tersenarai dalam 56 sukan yang akan dipertandingkan tahun depan.

Zainon berkata, Kejohanan Kebangsaan edisi ke-40 berakhir semalam juga dijadikan medan pemilihan dengan kini seramai 30 pemain senior dan remaja sudah dipilih untuk menyertai latihan pusat, Januari depan.

“Kejohanan Remaja Asia berlangsung di Jepun pada pertengahan tahun depan sebelum Sukan SEA Filipina. Jadi kami tak mahu melengahkan masa untuk membuat persiapan biarpun isu peruntukan masih belum selesai,” katanya.

Bola jaring sebelum ini tidak disenaraikan dalam sistem baru yang diperkenalkan Majlis Sukan Negara dan Zainon berharap penyenaraian sukan itu pada Sukan SEA tahun depan akan memudahkan bantuan disalurkan.

“Pada awalnya kami tidak dimasukkan dalam sistem baru ini kerana belum tersenarai ke Sukan SEA, jadi selepas ini kami harap peruntukan dapat diberikan,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 6:04pm
d