arena

Misi balas dendam Ronaldo

Oleh AFP

TURIN: Cristiano Ronaldo berada pada tahap terbaik dan berazam mahu membalas dendam pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini menentang Valencia selepas dilayangkan kad merah berdepan kelab Sepanyol itu pada perlawanan pertama.

Juventus pula hanya memerlukan seri di Turin untuk mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati pertandingan kelab elit Eropah itu.

“Gembira dapat membantu pasukan mencipta satu lagi kemenangan penting,” kata pemain berusia 33 tahun itu menerusi media sosial selepas menjaringkan gol ke-10 buat pasukan gergasi Itali itu Sabtu lalu ketika menang 2-0 ke atas SPAL.

Ia memberikan Juventus jurang lapan mata di persada Serie A selepas 13 perlawanan.

Ronaldo dibeli Juventus dengan harga 100 juta euro (RM476 juta) dari Real Madrid musim panas lalu untuk membantu mereka meraih gelaran Liga Juara-Juara sesudah hanya menamatkan kejohanan itu selaku naib juara dua kali dalam empat musim.

Namun bintang Portugal itu juga memberikan elemen penting dalam usaha pasukan mengejar gelaran Serie A kelapan berturut-turut dengan sembilan gol dan lima bantuan gol dalam keseluruhan 28 gol pasukan musim ini.

Tiada pasukan Itali pernah mencapai 37 mata daripada 13 perlawanan awal liga dengan Ronaldo menjadi penyerang terpantas dalam sejarah kelab menjaringkan 10 gol dalam semua pertandingan.

“Saya tidak fikir mengenai jumlah. Saya tidak mengiranya, yang penting kami membawanya pulang Mei depan,” kata jurulatih Massimiliano Allegri.

Selepas ini menanti dalam pertemuan Kumpulan H adalah Valencia, yang menewaskan Rayo Vallecano 3-0 dalam La Liga pada hujung minggu namun berada di pertengahan liga Sepanyol.

Juventus di persada kumpulan dengan sembilan mata daripada empat perlawanan, dengan Manchester United dua mata di belakang dan wakil Sepanyol itu lima mata. - AFP

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 8:37pm
d