arena

Cheng Hoe 'perati' taktikal Thai

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Taktikal dan corak permainan Thailand sepanjang Piala AFF menjadi ‘bahan kajian’ jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Justeru, skuad Gajah Perang itu juga perlu berhati-hati dengan perangkap Harimau Malaya walaupun mereka dianggap sebagai pasukan pilihan untuk mara ke final edisi kali ini.

Mengakui Thailand memiliki skuad serba lengkap, Cheng Hoe bagaimanapun tidak menafikan kemampuan anak buahnya dalam usaha meraih bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Rajamangala bagi aksi timbal balik pada 5 Disember depan.

“Kami tengok beberapa perlawanan mereka (Thailand) di peringkat kumpulan dan walaupun tak turunkan tiga atau empat pemain bintang mereka, kami boleh nampak mereka satu pasukan yang lengkap.

“Bermula dari penjaga gol hingga ke jentera serangan, pemain mereka memang bagus. Thailand memiliki pemain dan liga yang berkualiti.

“Pemain saya tidak boleh hilang fokus dan perlu lebih agresif. Kami tahu pemain mereka terutama Adisak (Kraisorn) cukup berbahaya kerana walaupun dapat peluang sedikit saja dia boleh jaringkan gol,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, hari ini.

Harimau Malaya mara ke separuh akhir selepas menundukkan Myanmar 3-0 di Stadium Nasional, Sabtu lalu sekali gus muncul naib juara Kumpulan A.

Pertemuan dengan Thailand boleh dianggap sebagai ulangan final Piala AFF 2014 yang menyaksikan Harimau Malaya tewas dengan agregat 3-4.

Selain itu, Cheng Hoe mengakui lebih selesa pasukannya digelar sebagai pasukan ‘underdog’ kerana sedar dengan reputasi Thailand yang dianggap sebagai jaguh Asia Tenggara.

Bagaimanapun beliau tidak mahu pemain terlalu memikirkan soal badi kekalahan kepada Thailand berikutan keputusan yang sering tidak memihak kepada Harimau Malaya setiap kali berdepan skuad Gajah Perang itu.

“Sudah pasti kami underdog, sebelum Piala AFF lagi saya sudah maklumkan kami underdog. Jadi kami perlu menggunakan segala kelebihan dan mengurangkan kesilapan.”

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 8:47pm
d