arena

'Ketepi soal badi...'

Oleh Zulfaizan Mansor

 

NILAI: Tiada istilah 'badi kekalahan' kepada Thailand yang bermain dalam kepala pemain negara walaupun Harimau Malaya dijangka berdepan laluan sukar untuk lolos ke final Piala AFF.

Pertemuan berdepan skuad Gajah Perang di separuh akhir pada Sabtu ini dan 5 Disember nanti dianggap halangan paling besar buat Harimau Malaya mengulangi pencapaian mara ke final kejohanan sama pada 2014.

Tonggak tengah negara, Syamer Kutty Abba menegaskan tiada misi mustahil buat Harimau Malaya menundukkan Thailand sekiranya segala perancangan daripada jurulatih, Tan Cheng Hoe dapat dilaksanakan di atas padang.

"Perkara itu (badi kekalahan kepada Thailand) tiada dalam kepala saya kerana kami sentiasa bekerja keras ketika latihan.

"Jadi jika dapat kekalkan dengan apa yang kami buat dan ambil peluang sebaik mungkin, tiada masalah untuk berdepan Thailand," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Aksi separuh akhir antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil terlebih dahulu pada Sabtu ini sebelum perlawanan kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok empat hari kemudian.

Pada final Piala AFF 2014, Malaysia meraih kemenangan 3-2 di Bukit Jalil, tapi kekalahan 0-2 di Bangkok pada perlawanan pertama menyaksikan Harimau Malaya terpaksa akur melepaskan trofi peringkat Asia Tenggara itu kepada Thailand yang menang menerusi agregat 4-3.

Selain itu, Syamer turut mengingatkan rakan sepasukan untuk lebih berwaspada dengan taktikal serangan balas bakal dilakukan Thailand terutama pada separuh akhir pertama nanti.

"Thailand pasukan yang kuat daripada segi teknikal dan taktikal, tapi kita pun ada kekuatan sendiri. Apa yang penting kita perlu gunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Kita juga mengharapkan penyokong sekali lagi dapat memenuhi stadium seperti ketika berdepan Myanmar bagi menaikkan lagi moral pemain," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 9:16pm
d