arena

Solari pertahankan Ramos

Oleh AFP

ROME: Jurulatih Real Madrid, Santiago Solari mempertahankan kapten pasukan, Sergio Ramos apabila didakwa memberikan sampel doping asing selepas kemenangan final Liga Juara-Juara, dua tahun lalu.

Berdasarkan laporan majalah Jerman, Der Spiegel, Ramos gagal mengesahkan dia mengambil bahan terlarang dexamethasone, menjelang final di Stadium Millennium di Cardiff yang menyaksikan Real menewaskan Juventus, 4-1.

"Sergio Ramos adalah orang yang jujur, simbol bukan saja kepada Real Madrid tetapi juga keseluruhan bola sepak Sepanyol," kata Solari dalam satu sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang AS Roma di Stadio Olimpico, pagi esok.

"Ini adalah tugas buat semua orang untuk mempertahankannya termasuk media yang tugasnya mencari kebenaran," katanya.

"Sekiranya kita keluarkan isu yang tidak betul, kerjaya kewartawanan itu hilang tujuan utamanya."

Ramos, 32, menafikan tuduhan anti-doping ke atas dirinya dan menganggap ia sebagai 'satu penipuan' dan percubaan bagi menjatuhkan reputasinya.

Juara tiga kali Liga Juara-Juara, Real Madrid dan gergasi Itali, AS Roma masing-masing bakal memasuki padang pentas elit Eropah dengan rekod kekalahan dalam saingan domestik, minggu lalu.

Pemenang bagi perlawanan ini dilihat bakal menamatkan saingan Kumpulan G selaku juara kumpulan, dan bakal melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 10:42am
d