arena

Usah gentar PSG

Oleh Agensi

PARIS: Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk melaungkan amaran kepada Paris Saint-Germain (PSG) yang pasukannya tidak gentar berdepan mereka pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp bertandang ke Paris dengan sasaran mahu merakam kemenangan kedua ke atas juara Perancis itu di pentas Eropah musim ini, selepas menewaskan mereka 3-2 di Anfield.

Van Dijk menegaskan Liverpool langsung tidak gerun dengan lawannya itu selepas berjaya mara ke final Liga Juara-Juara, tahun lalu.

“Saya tidak takut langsung. Kami menghormati mereka sebagai satu pasukan tetapi kami mahukan kemenangan,” kata Van Dijk.

“Kami cukup bersemangat dan akan bersedia sejak awal. Kami perlu sentiasa ingat yang kami juga adalah antara sebuah pasukan terbaik di Eropah.

“Kami mara ke final tahun lalu dan kami mahu mengulanginya tahun ini. Itu sasaran kami. Jadi kami akan cuba menewaskan mereka.

“Saya rasa di kelab seperti Liverpool, anda akan sentiasa merasakan tekanan. Anda memang patut merasakannya, tetapi ia tidak mengganggu saya. Saya hanya mahu bermain.

“Saya mahu menikmati perlawanan ini kerana tidak semua orang berpeluang melakukan apa yang kami lakukan.”

Ketika ini, The Reds juga adalah pencabar terdekat juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City yang kini mendahului liga.

Kedua-dua pasukan ini hanya dipisahkan dengan perbezaan dua mata dan kekal sebagai dua pasukan yang belum tewas dalam aksi liga setakat ini.

 

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 2:47pm
d