arena

'100,000 penyokong pun kami tak gentar'

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: "100,000 penyokong sekali pun kami tak akan gentar.”

Itu keyakinan yang disuarakan oleh jurulatih Thailand Milovan Rajevac menjelang pertembungan menentang Malaysia pada separuh akhir pertama Piala AFF, Sabtu ini.

Skuad Gajah Perang itu bakal bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil selepas muncul juara Kumpulan B dengan rekod tanpa kalah dalam 4 perlawanan.

Ini kali pertama mereka akan menjejakkan kaki semula di gelanggang Harimau Malaya sejak final 2014 yang menyaksikan mereka tewas 2-3 namun merangkul kejuaraan kelima menerusi keputusan agregat 4-3.

Berdasarkan apa yang berlaku ke atas Myanmar apabila pasukan pelawat itu 'lemas' dalam sorakan lebih 80,000 penyokong Malaysia Sabtu lalu, Rajevac percaya anak buahnya tidak akan mengalami nasib sama.

"Ia bukan masalah langsung kerana sebagai pemain profesional, mereka bersedia untuk memberikan persembahan terbaik, sama ada bermain di depan 100,000 penyokong atau hanya beratus penyokong saja," kata jurulatih kelahiran Serbia itu.

"Kami bermain dalam dua perlawanan dan jika kami membuat persediaan baik serta beraksi mengikut perancangan, kami boleh mendapat keputusan baik."

Malah keyakinan itu turut dikongsi oleh penyerang muda sensasi Thailand Supachai Jaided yang seperti tidak sabar untuk beraksi di depan penyokong Malaysia.

“Saya tidak rasa gementar. Kami pernah bermain di Malaysia sebelum ini. Kami tahu mereka akan mendapat sokongan ramai penyokong di sana.

"Tapi kami hanya perlu fokus kepada permainan kami dan tidak perlu untuk merasai sebarang tekanan daripada penyokong tuan rumah," kata pemain berusia 19 tahun itu yang dipetik dalam laman web rasmi Piala AFF Suzuki.

Selepas aksi di Bukit Jalil, Thailand akan menanti kunjungan skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional Rajamangala pada 5 Disember bagi pertemuan separuh akhir kedua.

 

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 5:02pm
d