arena

Kovac lega Bavaria 'makan besar'

Oleh AFP

MUNICH:Bayern Munich meraih kemenangan 5-1 di laman sendiri ke atas Benfica awal pagi tadi, dan mara ke saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, sekali gus meredakan tekanan dihadapi jurulatih, Niko Kovac.

Arjen Robben dan Robert Lewandowski masing-masing meledak dua gol sebelum Franck Ribery melengkapkan 'pesta gol' mereka di Allianz Arena dengan gol tunggal pelawat dijaringkan Gedson Fernandes.

Robben memulakan pesta jaringan pada minit ke-13, diikuti gol kedua pada minit ke-30, sebelum Lewandowski menutup babak pertama dengan gol ketiga Bayern, enam minit selepas itu.

Seminit selepas babak pertama bermula, Fernandes merapatkan jurang buat Benfica, namun Lewandowski sekali lagi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-51 untuk terus membunuh kebangkitan lawan.

Ribery melengkapkan kemenangan bergaya Bayern pada minit ke-76.

Pada aksi pagi tadi, kelab kendalian Kovac itu jelas berjaya keluar daripada kemelut prestasi hambar di saingan liga apabila mempamerkan corak permainan lebih meyakinkan di pentas Eropah.

Sebelum ini, mereka hanya memenangi dua perlawanan dan tewas tiga kali dalam lapan aksi Bundesliga, sekali gus meningkatkan tekanan kepada Kovac.

"Gol ini sangat penting bukan saja untuk saya tetapi pasukan," kata Robben.

"Kami bermain dengan baik, menemui rentak sebenar, menyerang dengan baik dan kami tidak banyak melepaskan jaringan.

"Ia satu kemenangan meyakinkan dan itulah yang kami perlukan pada ketika ini."

Kemenangan itu secara tidak langsung meredakan tekanan ke atas Kovac, yang kini hanya memerlukan kemenangan di Werder Bremen dalam saingan liga, Sabtu ini.

"Kita semua tahu bagaimana saingan dalam bola sepak, tetapi kami menang dan tewas bersama, jurulatih adalah sebahagian daripada kami, kami berusaha gigih bersama setiap hari," kata Robben.

Kejayaan ini juga adalah yang ke-11 berturut-turut Bayern melangkah ke saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Ketika Bayern hanya berada di tangga kelima Bundesliga, mereka tetap menyerlah di pentas Liga Juara-Juara selepas meraih empat kemenangan dan satu keputusan seri dalam saingan peringkat kumpulan.

Mereka hanya memerlukan satu mata pada pertemuan dengan Ajax dua minggu lagi untuk bergelar juara Kumpulan A.

Manakala Benfica pula terpaksa mengharapkan mereka mampu meraih tempat ketiga dan slot untuk beraksi di peringkat kalah mati Liga Europa.

 

 

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 7:25am
d