arena

UKM FC disingkirkan daripada Liga Perdana

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan UKM FC untuk menangguhkan pengesahan penyertaan mereka sekali gus tidak dibenarkan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan itu dibuat Lembaga Pengarah Liga MFL selepas mendapati rayuan UKM FC itu tidak mengandungi maklumat baharu berbanding permohonan awal.

"Setiap pasukan harus mengambil serius mengenai tarikh akhir yang telah ditetapkan untuk setiap perkara. Mentaliti mengambil mudah perkara sebegini harus dihentikan. 

Sebelum ini, MFL memberi tempoh selama tujuh hari kepada pengurusan UKM FC untuk mengemukakan rayuan atas kegagalan mengesahkan penyertaan mereka yang berakhir pada 15 November lalu.

Difahamkan, kegagalan skuad The Varsity Boys adalah berpunca di atas kelewatan untuk mendapatkan pengesahan daripada Lembaga Pengarah UKM disebabkan universiti berkenaan baru melantik pengerusi baharu pada 1 November lalu.

Jelas Kevin lagi, berpandukan alasan yang diberikan UKM FC, sepatutnya mereka perlu berhubung lebih awal dengan MFL dan bukannya pada tarikh akhir membuat pengesahan.

"Kalau ada yang masih belum faham, mungkin mereka perlu memahami sekarang bahawa MFL serius dalam mengubah landskap bola sepak Malaysia. Bagi yang masih tidak mahu berubah, tiada lagi tempat bagi mereka di pentas Liga M," katanya.

Selepas UKM FC disingkirkan, ini bermakna masih ada empat slot kekosongan di dalam Liga Perdana 2019.

Setakat ini, MFL masih menunggu pengesahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mencadangkan empat pasukan dari Piala FAM yang akan bertanding bagi musim depan. 

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 1:44pm
d