arena

Baki 40,000 tiket separuh akhir dijual esok

Oleh Wartawan NSTP

KUALA LUMPUR: Selepas 40,000 tiket separuh akhir pertama Piala AFF habis dijual dalam tempoh 48 jam secara dalam talian pada Isnin lalu, baki 40,000 keping lagi akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil dan premis terpilih Al-Ikhsan Sports, bermula esok.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjual terus semua 80,000 tiket menerusi sistem dalam talian bagi memberi peluang kepada penyokong yang tidak mempunyai akses untuk membeli tiket berkenaan.

“Kaunter tiket di Stadium Nasional akan menjual 30,000 tiket dan premis terpilih Al-Ikhsan Sports sebanyak 10,000 keping sehingga ia habis terjual,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Bagaimanapun, menurut FAM, waktu sebenar penjualan tiket di kaunter Stadium Nasional dan premis terpilih Al-Ikhsan Sports akan dimaklumkan selepas ini kerana semua tiket berkenaan akan tiba dari Bangkok, Thailand, malam ini.

Pada masa sama, pihaknya mengesahkan tiada lagi kaunter khas dibuka di Wisma FAM, Kelana Jaya atas faktor jangkaan kesesakan di kawasan berkenaan yang terletak berdekatan kawasan perumahan.

Tiket separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki dijual pada harga RM40 untuk tempat duduk berbumbung, RM30 untuk tempat duduk terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 5:02pm
d