arena

Serang! Serang! Serang!

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Harimau Malaya harus mengamalkan corak menyerang dalam misi memburu jaringan, sekali gus menang ke atas Thailand pada separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain legenda bola sepak negara, Ramli Junit berkata, jaringan di gelanggang sendiri amat penting sebagai modal berharga menjelang aksi kedua di gelanggang lawan.

Beliau berharap pemain tengah harus terus kreatif memasuki kubu lawan dan mencipta hantaran bagi membolehkan penyerang berpeluang menjaringkan gol.

“Kegembiraan menewaskan Myanmar 3-0 sebelum ini harus dilupakan, sebaliknya kental fokus pada aksi 90 minit di laman sendiri.

“Benteng pertahanan pula harus berkomunikasi efektif dengan penjaga gol dan rakan lain bagi mengelak kubu pasukan daripada dibocori,” katanya.

Baginya, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri harus digunakan sebaik mungkin, sekali gus memenuhi harapan peminat yang mahu menyaksikan kejayaan skuad Harimau Malaya pada edisi kali ini.

Ramli berkata, semangat juang tinggi pemain seperti yang ditunjukkan pada perlawanan sebelum ini harus dikekalkan, malah perlu bertindak lebih agresif dan bertenaga.

“Nasihat saya kepada pemain, kawalan dan hantaran haruslah tepat supaya pasukan tidak mudah hilang bola dan lawan tidak mengambil peluang daripada kesilapan itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 6:20pm
d