arena

'VAR tak adil...'

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Southampton, Mark Hughes antara penyokong penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) tetapi pengendali dari Wales itu merasakan teknologi berkenaan digunakan dengan salah ketika pasukannya kalah kepada Leicester City, awal pagi tadi.

Dalam aksi pusingan empat Piala Liga itu, Southampton memperoleh gol lewat menerusi cubaan Steven Davis tetapi ia dibatalkan selepas VAR mendapati wujud insiden bola terkena tangan dalam gerakan yang membawa kepada jaringan berkenaan.

Keputusan perlawanan berakhir 0-0 sebelum Leicester meraih kemenangan 6-5 menerusi penalti.

“Kami memperoleh gol yang sempurna tetapi kemudiannya dipadamkan VAR... Pengadil, untuk berlaku adil kepadanya, sebenarnya berkata jika ia bukan disebabkan oleh VAR, dia akan memberikan gol itu kerana ia berlaku dengan amat pantas.”

Pada awal bulan ini, penyerang Southampton Charlie Austin merayu supaya teknologi berkenaan diperkenalkan di Liga Perdana Inggeris selepas gol yang dijaringkannya dibatalkan pengadil ketika mencatat keputusan seri 1-1 dengan Watford.

Kelab-kelab di liga tertinggi Inggeris itu secara dasarnya sudah bersetuju dengan penggunaan sistem berkenaan pada permulaan musim depan.

“Beberapa minggu lalu, kami menuntut supaya ia diperkenalkan, jadi kami tidak boleh banyak merungut,” kata Hughes. 

“Tetapi jika orang-orang di belakang skrin melihat situasi itu dengan gerak perlahan yang amat perlahan,  jadi sesuatu tidak disengajakan dalam masa yang nyata kelihatan sengaja sekali pun ia tidak berniat.

“Dari sudut pandang kami, ia gol yang sah dan seharusnya kekal dan kami sepatutnya menang perlawanan ini. Saya berharap lebih banyak sistem ini digunakan, lebih baik ia akan jadi.”

Southampton yang menghuni tangga ke-18 liga akan kembali ke aksi Liga Perdana bertemu Manchester United, Sabtu ini di laman sendiri.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 8:16pm
d