arena

Semangat Bale

Oleh Reuters

ROME: Gareth Bale menanggung cemuhan atas prestasi longlai Real Madrid baru-baru ini tetapi penyerang Wales itu berharap kemenangan 2-0 ke atas AS Roma dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi boleh mengubah nasib kelab gergasi berkenaan.

Kemenangan di gelanggang lawan dalam aksi Kumpulan G itu mengesahkan tempat buat penyandang juara itu ke peringkat kalah mati.

Bale, 29, sebelum ini gagal menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan liga dan dikritik hebat susulan kekalahan mengejut 0-3 kepada Eibar, Sabtu lalu iaitu kekalahan kelima juara Eropah tiga kali berturut-turut itu pada musim ini.

Selepas sering kehilangan bola dan hanya mampu melakukan satu cubaan tepat ke gawang menentang Eibar, kajian dalam talian dibuat akhbar Sepanyol, Marca mendedahkan peminat Real tidak mahu dia diturunkan menentang Roma.

Tetapi seperti Real, Bale ‘mengganas’ di Liga Juara-Juara dan selepas aksi terumbang ambing pada separuh masa pertama, dia memecah kebuntuan dengan meledak gol ketiganya di kancah berkenaan dan membuat umpanan untuk gol kedua yang disempurnakan Lucas Vazquez.

“Pengurus memberitahu kami pada separuh masa pertama yang kami perlu terus bermain dengan cara kami tahu. Dan pada babak kedua, kami bermain dengan amat baik, bermain seperti kebiasaan,” kata Bale. “Kami kembali mendapat sedikit keyakinan dan perlu membinanya bermula daripada situ.

“Kami tahu dengan jelas yang permulaan kami pada musim ini tidak berjalan seperti diharapkan. Kami perlu terus bekerja keras sebagai satu pasukan untuk mendapatkan prestasi dan juga keputusan... dan dapat mendaki semula kedudukan dalam liga.”

Bale dikatakan gagal untuk mengisi kekosongan ditinggalkan bintang Cristiano Ronaldo dengan Real bergelut di pentas domestik untuk menduduki tangga keenam La Liga.

Dia mengakui kecewa dengan persembahan ditampilkan Real setakat ini sejak tonggak dari Portugal itu meninggalkan Santiago Bernabeu untuk menyertai Juventus.

“Permulaan musim ini agak terumbang ambing tetapi kami perlu terus berjuang dalam setiap perlawanan tanpa mengira di mana posisi kami. Ini bola sepak, kadang kala ia boleh mengecewakan apabila perkara tidak memihak kepada kita.

“Tetapi saya belajar daripada pengalaman yang kamu perlu terus bekerja keras, bekerjasama sebagai satu pasukan dan itulah yang kami lakukan hari ini.”

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 8:23pm
d