arena

Sarawak juarai Para SUKMA XIX Perak

Oleh Muhammad Apendy Issahak

IPOH: Temasya Sukan Para SUKMA XIX Perak 2018 melabuhkan tirai hari ini dengan kontinjen Sarawak unggul mengekalkan kejuaraan buat kali ke-13 berturut-turut.

Sarawak mengumpul 163 pingat keseluruhan dengan 61 emas, 62 perak dan 40 gangsa, manakala kontinjen Sabah di tangga kedua dengan 94 pingat membabitkan 36 emas, 28 perak dan 30 gangsa.

Tuan rumah pula menduduki tangga ketiga membabitkan 84 pingat keseluruhan dengan 29 emas, 33 perak dan 22 gangsa sekali gus melebihi sasaran 25 emas.

Piala Semangat Paralimpik disampaikan kepada kontinjen Sarawak bagi pencapaian cemerlang mengungguli temasya kali ini.

Atlet wanita terbaik dimenangi jaguh catur Negeri Sembilan, Nur Feiqha Mualad Mohd Halil yang memenangi empat pingat emas, manakala atlet olahraga dari Sabah, Jaklon Ganding yang meraih tiga emas muncul atlet lelaki terbaik.

Majlis perasmian penutup Para SUKMA edisi ke-19 disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Stadium Indera Mulia, di sini, malam ini. Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, semangat dan iltizam atlet Para dalam membuat persiapan menghadapi temasya Para SUKMA kali ini meletakkan mereka sebagai wirawan dan wirawati sebenar.

"Anda semua adalah yang terbaik, setinggi tahniah dan syabas! Ini sekaligus memenuhi objektif menjadikan temasya ini sebagai medan yang disediakan kerajaan bagi memberi ruang kepada bakat muda dari golongan istimewa untuk membuktian kemampuan masing-masing.

"Saya ingin berkongsi rasa kagum dengan semangat atlet Para kerana telah berjaya membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya dalam bidang sukan," katanya.

"Kita perlu belajar daripada semangat enggan menyerah kalah mereka bukan sahaja dalam acara sukan, tetapi juga dalam kehidupan seharian.

"Kita mesti akui, mereka telah membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya dan moga ia menjadi pencetus semangat kepada kita semua untuk tidak sekali-kali mengalah dengan cabaran dalam kehidupan," katanya.

Ahmad Faizal turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet dan pegawai kontinjen yang mengambil bahagian dalam temasya Para SUKMA edisi ke-19 Perak 2018.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 10:38pm
d