arena

Eriksen buat Spurs bernyawa

Oleh AFP

LONDON: Christian Eriksen yang masuk sebagai pemain gantian memastikan peluang Tottenham untuk ke 16 terakhir Liga Juara-Juara masih terbuka apabila bintang Denmark itu menjaringkan gol lewat permainan untuk kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu hanya berbaki 10 minit daripada tersingkir di peringkat kumpulan apabila tampak bergelut dalam usaha mereka membolosi gawang Inter di Wembley.

Tetapi Eriksen, yang menimbulkan tanda tanya apabila diletakkan di bangku simpanan oleh Pochettino, kemudian masuk menyelamatkan Tottenham dan penentuan kelayakan Kumpulan B akan diputuskan pada perlawanan terakhir dua minggu lagi.

Ia adalah perlawanan dramatik sehingga ke penghujungnya bagi Tottenham yang perlu bekerja keras untuk kemenangan bagi mengelak daripada terkandas di peringkat kumpulan buat kali kedua dalam tiga musim.

Selepas memperoleh satu mata daripada tiga perlawanan pembukaan, Tottenham dua kali menjaringkan gol dalam 12 minit terakhir permainan sekali gus menyelamatkan mereka daripada tersingkir awal di tangan PSV Eindhoven awal bulan ini.

Dan kejayaan terbaru ini memastikan Tottenham berada di kedudukan kedua, berkongsi mata dengan Inter di tangga ketiga.

Mereka bakal menentang pendahulu kumpulan, Barcelona pada 11 Disember ini dengan kemenangan bakal menjamin kedudukan ke kelompok 16 terakhir, tanpa mengira apa pun keputusan yang diperoleh Inter dalam pertemuan menentang PSV pada malam yang sama.

“Semuanya tidak mustahil. Saya tidak katakan ia adalah misi mustahil, dalam bola sepak semua boleh berlaku, anda hanya perlu yakin,” kata Pochettino.

“Ia bakal menjadi sukar (untuk menang di Barcelona) tetapi keyakinan adalah sangat penting.”

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 9:37am
d