arena

Shahrul sedia ikat Kraisorn

Oleh Saiful Affendy Sapran dan Zulfaizan Mansor

NILAI: Barisan pertahanan negara sudah bersedia untuk merantai pergerakan penyerang berbisa Thailand, Adisak Kraisorn menjelang aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tonggak pertahanan, Shahrul Saad menjelaskan dia mampu 'bergabung' bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk menyekat kemaraan penjaring terbanyak Piala AFF itu.

Namun, dia turut menegaskan benteng Harimau Malaya tidak boleh hanya menumpukan kepada Adisak sahaja dan melupakan kemampuan pemain Thailand yang lain.

"Buat masa ini jurulatih belum maklumkan lagi siapa yang akan jaga Adisak. Tapi sudah semestinya kita kena jaga dia kerana kita tahu dia penjaring terbanyak.

"Jika diberi tugas untuk menjaga dia sekalipun, Insya-Allah saya bersedia dan akan cuba melakukan tugas itu sebaik mungkin," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

"Namun, bukan dia saja perlu diberi perhatian kerana ada beberapa lagi pemain Thailand yang mempunyai kemahiran dan teknik yang baik di bahagian serangan."

Adisak sudah membuktikan betapa sentuhannya harus digeruni lawan selepas meledak lapan gol buat skuad Gajah Perang sepanjang kejohanan ini.

Shahrul yang digandingkan bersama Aidil mempamerkan persembahan cemerlang di bahagian pertahanan ketika aksi terakhir Kumpulan A berdepan Myanmar, Sabtu lalu.

Justeru, Shahrul menjelaskan jika prestasi cemerlang itu dapat dikekalkan, tiada masalah untuk mereka mempertahankan kubu Harimau Malaya daripada dibolosi Thailand.

"Saya dan Aidil perlu mempertingkatkan lagi persembahan untuk jumpa Thailand, mungkin perlu tampil dengan prestasi lebih baik berbanding masa lawan Myanmar.

"Kami perlu perbaiki lagi beberapa kelemahan bagi mengelak sebarang masalah berdepan Thailand. Apa yang penting kami perlu mengikut segala perancangan jurulatih," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 7:00pm
d