arena

Harimau Malaya boleh 'gigit' Gajah Perang

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Bekas pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff yakin percaturan Tan Cheng Hoe untuk skuad Harimau Malaya mampu menjinakkan Thailand pada separuh akhir Piala AFF Suzuki, di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Nidzam yang pernah bergandingan dengan Cheng Hoe selama tiga tahun di Kedah sejak 2015 yakin, jurulatih Harimau Malaya yang dianggap ‘sifu’ itu memiliki strategi untuk membenam cabaran skuad ‘Gajah Perang’, pada kali ini.

"Saya yakin mereka memiliki kemampuan mencipta kejutan berdasarkan beberapa faktor, termasuk rekod perlawanan dalam saingan kali ini serta persediaan pembentukan skuad yang mantap.

“Semangat juang pemain juga semakin meningkat, apatah lagi dengan sokongan luar biasa penyokong Harimau Malaya,” katanya.

Nidzam mengakui, selaku pasukan pilihan, Thailand mempunyai kelebihan rekod enam kemenangan berbanding Malaysia (dua kali), namun baginya pertembungan kali ini cukup berbeza.

"Mutu permainan di bawah sentuhan Cheng Hoe memang berbeza. Skuad terkini semakin mantap pada setiap perlawanan seperti aksi menewaskan Myanmar (3-0),”

Nidzam yang akan bersama skuad Melaka United untuk musim 2019 juga berharap skuad negara terus kekal konsisten dan mempamerkan tahap keyakinan tinggi tanpa terlalu memikirkan kehebatan reputasi gah lawan.

"Perkara yang perlu kita tekankan adalah mengelak melakukan kesilapan yang mampu merugikan peluang pasukan,” katanya sambil mengharapkan lebih 80,000 penyokong yang hadir ke stadium supaya berterusan memberi sokongan.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 12:46pm
d